KUALA LUMPUR 5 Jan. - Kira-kira 50 ahli Gerakan Belia 4B mengadakan demonstrasi aman mengutuk serangan Israel ke atas Palestin serta menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Kumpulan yang diketuai oleh Pengerusi Gerakan Belia 4B Wilayah Persekutuan, Mohd. Azhari Naharuddin sebelum itu berarak dari bangunan Lembaga Tabung Haji sebelum menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kedutaan AS di sini pada pukul 2.55 petang.
Bagaimanapun, kumpulan itu ditahan oleh polis kira-kira 50 meter dari pintu masuk kedutaan tersebut.
Hanya Mohd. Azhari serta empat wakil lain dari kumpulan itu dibenarkan menyerahkan memorandum berkenaan kepada seorang wakil kedutaan yang enggan dikenali.
Mohd. Azhari berkata, peranan AS sebagai 'polis dunia' amat penting dalam menghentikan serangan rejim Israel ke atas wilayah Hamas di Palestin sejak hujung Disember lalu.
"AS harus menghentikan tindakan rejim Yahudi ke atas Palestin kerana janganlah kerana satu atau dua orang pemimpin Hamas, seluruh Palestin menjadi mangsa serangan Israel," katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan memorandum itu.
Menurutnya, Gerakan Belia 4B amat prihatin dengan nasib yang menimpa golongan muda dan kanak-kanak Palestin yang ramai terkorban sejak serangan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abd. Rahim Hamzah Othman ketika ditemui berkata, dua pasukan yang terdiri daripada 45 anggota dan pegawai dari Balai Polis Cheras diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar kedutaan itu.
''Kami telah berada di sini sejak pukul 1 tengah hari dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sehingga ia (demonstrasi) tamat kira-kira pukul 3 petang," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Presiden Gerakan Belia 4B Kebangsaan, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam melalui satu kenyataan yang diedarkan oleh pertubuhan itu mengutuk peperangan yang dilancarkan Israel ke atas Palestin.
Katanya, tindakan Israel yang mengepung serta menyerang 1.6 juta rakyat Palestin itu menunjukkan rejim Zionis berkenaan tidak menghormati hak dan kedaulatan Palestin, selain menafikan hak rakyat negara tersebut daripada mendapat keperluan serta perubatan asas.
''Kami meminta Presiden Bush dan kerajaan AS memainkan peranan dalam menghentikan serangan Israel ini serta membenarkan bantuan kemanusiaan luar masuk ke Palestin, terutamanya melalui Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm